TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI PERLIS...

 Suka makan buah mangga? Kalau anda nak tahu, di negeri Perlis inilah terletaknya ladang-ladang mangga Harum Manis yang merupakan mangga yang boleh dikatakan paling sedap, wangi pula tu. Mangga saja ke yang menarik di Perlis ni? Tidak sama sekali.

Jangan pandang sebelah mata negeri yang terkecil di Malaysia ni, namanya, Perlis Indera Kayangan, sudah cukup mencerminkan betapa walaupun ianya kecil, patut diberikan respek sebab punyalah banyak tarikan yang ditawarkannya, unik-unik pula tu.

Tambahan lagi dengan tempat membeli-belah bebas cukai yang terdapat di kawasan sempadan, memang rugilah kalau tak datang ke sini kalau ada peluang. Nak tahu apa yang ditawarkan negeri indera kayangan ini dengan lebih spesifik lagi? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Perlis ini. 

Taman Rekreasi Tasik Melati

Taman Tasik Melati Perlis

Tasik Melati merupakan sebuah tasik kecil yag memiliki lebih daripada 150 buah pulau beting pasir. Jambatan disediakan merentasi tasik ini untuk memberi ruang kepada pelawat menikmati pemandangan indah tasik yang berlatar belakangkan kehijauan dan gunung-ganang ini.

Selain itu,Taman Rekreasi ini juga merupakan lokasi yang patut dilawati untuk anda yang sukakan aktiviti memerhari burung kerana di sini terdapat pelbagai jenis burung dalam pelbagai warna yang terbang bebas.

Bagi kanak-kanak pula, terdapat taman permainan disediakan untuk mereka berseronok. Di samping itu, terdapat juga laluan refleksologi di mana anda dapat melancarkan perjalanan darah sambil menghirup udara segar sekitar kawasan tasik. Cara yang sempurna untuk menghabiskan hari minggu bersama keluarga bukan?  

Gua Kelam

Gua-Kelam-Perlis

Gua Kelam merupakan salah satu daripada gua yang unik di Malaysia dengan kepanjangan gua batu kapurnya 370 meter. Jambatan kayu yang berkelebaran 8 kaki adalah satu-satunya jalan yang anda boleh lalui untuk menikmati pemandangan di dalam Gua Kelam. Bunyi air yang menitis daripada stalaktit akan menemani anda sepanjang perjalanan.

Fenomena semula jadi iaitu sungai bawah tanah yang mengalir di dalam gua ini adalah air yang menuju ke Sungai Perlis.

Pasti anda terpesona dengan keindahan gua ini, tapi, tunggulah sehingga anda sampai ke sebuah taman di hujung perjalanan anda dalam gua ini, sungguh indah dan sesuai untuk dijadikan tempat berehat setelah jauh berjalan. 

Hutan Lipur Bukit Ayer

Hutan Lipur Bukit Ayer

Jarak Hutan Lipur Bukit Ayer dari Kangar hanyalah 13 km sahaja, dan lokasi hutan ini adalah di dalam Hutan Simpan Bukti Bintang. Di hutan lipur ini terdapat sungai yang sesuai untuk dijadikan lokasi berkelah dan bersantai bersama keluarga.

Lagi syok kalau anda berbbq di sini, tapak perkhemahan yang disediakan di hutan lipur ini juga lengkap dengan kemudahan memasak. Apa lagi, rancang hari keluarga di sini pun best juga.

Tarikan di hutan lipur ini bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadinya, malahan anda sekeluarga dapat berseronok di gelongsor yang disediakan di kolam mandi yang diairi air sungai di sini, pergh! Ini memang betul-betul syok! 

Galeri Diraja Arau Perlis

galeri diraja perlis

Galeri Diraja Arau Perlis bukan mudah untuk siapa-siapa masuk, anda perlu membuat permohonan dulu baru dapat melangkahkan kaki ke dalamnya.

Apabila anda berjaya masuk ke galeri ini, anda akan dapat melihat pameran salasilah serta sejarah keturunan Diraja Perlis, alat kebesaran Diraja, senapang antik, pedang, duit lama, basikal antik, bunga emas dan banyak lagilah.

Tapi yang paling menarik perhatian adalah kain kiswah yang merupakan kelambu kaabah yang diberikan oleh pemerintah Arab Saudi kepada Sultan Perlis pada tahun 1965. Bawalah keluarga anda ke sini untuk satu peluang yang bukan mudah dimiliki oleh orang lain. 

Padang Besar

Pasar Padang Besar Perlis

Sekitar 35 km dari ibu negeri Perlis, Kangar, terletaknya syurga membeli-belah bagi rakyat Malaysia dan Thailand kerana harganya yang murah, mana taknya, kerana lokasinya di kawasan bebas cukai di tengah-tengah sempadan.

Padang Besar, mungkin anda pernah dengar bukan? Kalau anda belum pernah ke sini lagi, apa kata kalau simpan duit dari sekarang, lepas tu shoppinglah puas-puas di sana. Tak habis berjalan kalau nak tengok semua barangan yang diniagakan di sini, jangan terkejut, cctv pun ada dijual! 

Masjid Terapung Al-Hussain

Masjid Terapung Kuala Perlis

Masjid Terapung Al-Hussain ini begitu indah, menyejukkan mata memandang. Dibina dengan kos RM12 juta, ia bukanlah masjid yang calang-calang, inilah masjid yang ikonik yang terletak di Perlis.
Kedudukannya yang mengadap Selat Melaka menjadikan ia 100 kali lebih indah terutama sekali apabila tibanya waktu senja, matahari terbenam menaikkan lagi seri bangunan masjid yang tidak bercat ini.
Untuk pengetahuan anda, masjid ini menggunakan bahan seperti marmar, kuartz, batu granit, pebbles dan coral sahaja dalam pembinaannya. Unik dan menakjubkan, lihat di depan mata anda sendiri, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. 

Hebat juga Perlis ni kan? Kawasan desanya yang indah, ladang-ladangnya yang subur, dan alam semula jadinya menjadikan ia sebuah destinasi yang menyeronokkan untuk dilawati semasa bercuti bersama keluarga.

Bagi yang sudah puas menikmati kehidupan di bandar, suasana desa dapat mengembalikan kewarasan fikiran yang telah terlalu ‘dihantui’ kesibukan di kota. Dah puas bercuti di Perlis, naik pula feri dari Kuala Perlis untuk ke Langkawi, percutian dua dalam satu gitu.

Sekian sahaja penulisan kali ini, diharapkan senarai tempat menarik di Perlis ini dapat membantu anda merancang percutian ke Perlis nanti. Semoga berseronoklah anda sekeluarga di negeri Perlis Indera Kayangan!

Comments